Assalamualaikum wbt kepada para pembaca yang saya rindui dan kasihi sekalian.
Entri saya pada kali ini adalah untuk membincangkan satu isu yang seringkali bermain-main di minda ini. Fenomena bencana alam. Banjir. Ya,siapa sahaja yang tidak pernah mengalami situasi banjir. Mungkin ada dalam kalangan pembaca pada waktu ini pernah mengalami situasi banjir. Ataupun tengah terkenang-kenangkan ketika sedang bermain air banjir di halaman rumah atau pun membuat 'lawatan' tertentu ke tempat banjir. Waktu banjir inilah yang dikatakan sebagai pesta air untuk masyarakat kita tidak kira tua ataupun muda. Namun, begitu mengapakah sering kali berlakunya banjir di negara kita ini? Adakah disebabkan oleh fenomena alam semata-mata? Ataupun ada tangan manusia yang menyumbang berlakunya banjir. Terdapat beberapa faktor manusia yang menyumbang kepada terjadinya banjir.
1. Pemusnahan kawasan hutan tadahan.
Pemusnahan kawasan hutan tadahan telah menyebabkan kekerapan berlakunya banjir. Hal ini demikian kerana, pokok-pokok ditebang untuk tujuan pembalakan. Penebangan pokok memberikan kesan yang negatif kepada alam sekitar teutamanya kepada kehidupan manusia. Penebangan pokok telah meningkatkan pengaliran air hujan kerana ketiadaan pokok untuk mengurangkan kadar pengaliran air hujan tersebut. Jika kita lihat pada hari ini, aktiviti pembalakan semakin giat dijalankan oleh manusia untuk tujuan yang tertentu. Keadaan ini telah menyebabkan semakin banyak kawasan hutan tadahan dirosakkan oleh manusia.
2. Pembuangan sampah.
Pembuangan sampah sembarangan oleh masyarakat merupakan faktor yang turut menyumbang kepada berlakunya fenomena banjir. Pembuangan sampah ini melibatkan segala jenis iaitu plastik, botol, kertas dan sebagainya. Segala jenis pembuangan ini telah menyebabkan sistem pemparitan ataupun longkang tersumbat. Keadaan ini telah menyebabkan pengaliran air tiada laluan kerana terperangkap dan mengalir ke dalam kawasan-kawasan penempatan masyarakat. Sekiranya, tidak wujud lagi kesedaran untuk tidak menyumbang sampah sembarangan sudah pasti sampai bila tiada penyelesaian kepada permasalahan ini.
Justeru, secara kesimpulannya, kesedaran yang tinggi seharusnya diterapkan dalam kalangan masyarakat supaya kita bersama-sama dapat menjaga alam sekitar dengan lebih baik. Hal ini demikian untuk generasi pada masa hadapan yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara kelak. Jika kita bersikap acuh tidak acuh dalam hal seperti ini, sudah tentu negara kita tidak akan maju seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.
Wasalam, sekian.
No comments:
Post a Comment