Tuesday, 3 January 2017

BBK 3410 : OH BUKIT BROGA!


Assalamualaikum w.b.t. Sudah lama rasanya tidak menghasilkan sebarang penulisan di halaman blog saya ini. Apa khabar pembaca-pembaca blog sekalian. Harap kalian berada dalam keadaan yang sihat hendaknya.

Satu kenangan yang tidak mungkin saya lupakan kerana ianya adalah pengalaman yang paling indah pernah saya alami. "Ikutlah aku Syu, bukan selalu kita dapat peluang macam ni. Bila lagikan?" kata-kata ini masih terngiang-ngiang di kepala ini. Ramai pelajar sudah pulang untuk menghabiskan minggu cuti ulangkaji di rumah. Tetapi saya masih di UPM kerana niat untuk menghabiskan masa dengan sebaiknya seminggu untuk menelaah pelajaran. Pelawaan kawan sebilik saya pada awalnya tidaklah begitu menggembirakan saya. Bukan apa. Ini kali pertama saya untuk melakukan outdoor aktiviti iaitu mendaki bukit. Suatu perasaan yang tidak dapat untuk saya ungkapkan. Mendaki bukit? Bukanlah pilihan pertama saya untuk dijadikan sebagai aktiviti. Tetapi untuk mengurangkan tekanan daripada belajar dan menghirup udara yang segar saya akhirnya membuat keputusan untuk mengikuti rakan sebilik saya itu. 

18/12/2016 - Ahad

Jam 4 pagi -  Kami sudah berkumpul di cafe untuk mendengar sedikit taklimat daripada pihak yang menganjurkan aktiviti ini. Bukit yang bakal kami daki ialah Bukit Broga,Selangor. Itulah pertama kali saya mendengar nama bukit tersebut. Terdetik sedikit perasaan teruja untuk mendaki Bukit Broga setelah mendengar taklimat daripada pengajur. Aktiviti ini dijalankan oleh salah satu persatuan di universiti ini iaitu Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM) dengan penglibatan beberapa NGO lain. Seramai 30 orang peserta yang terlibat. Sesudah taklimat selesai kami memulakan doa supaya perjalanan selamat pada jam 5.30 pagi.

Jam 6 pagi - Kami tiba di Bukit Broga. Saya melihat sudah ramai pengunjung yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Seusai menunaikan solat Subuh bermulalah pendakian kami. Namun, terdapat sedikit sesi pengenalan daripada pihak NGO yang terlibat dengan pasukan kami. Saya tidak mengingati nama NGO tersebut yang mana ianya melibatkan pelajar-pelajar sekolah sempena cuti persekolahan. Setelah itu, barulah bermula pendakian kami untuk mendaki Bukit Broga. Mungkin buat pertama kalinya saya mendaki, sedikit kepenatan terasa dalam diri ini. Tetapi semangat untuk meneruskan pendakian itu masih berkobar-kobar.

Sepanjang pendakian itu, memberikan saya 1001 sebab untuk mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanNya. Begitu segar udara nyaman yang memenuhi ruang udara di situ jika dibandingkan dengan bandar yang penuh dengan udara kimia. Pemandangan hijau memberikan ketenangan yang tdak dapat saya gambarkan betapa Allah SWT amat menyayangi hambaNya tanpa meminta sedikit balasan untuk setiap udara yang kita hirup. Akhirnya saya menguatkan azam untuk sampai kepuncak Bukit Broga. Akhirnya dengan izinNya saya sampai ke puncak bukit broga. Subhannallah! Pemandangan yang amat indah sekali. Saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana rupanya seperti inilah pemandangan yang sering kali diperkatakan oleh orang. Kami mengambil masa untuk menghayati ciptaan Ilahi yang amat indah dan sempurna. Semoga pengalaman ini dapat menjadikan saya insan yang sentiasa mensyukuri dengan segala apa yang kita ada pada hari ini. Sekian, Wassalam.







No comments:

Post a Comment