Wednesday 4 January 2017

BBK 3410 : NOKTAH HITAM

NOKTAH HITAM
Kau kata malam masih muda,
Kau kata hidup buat selamanya,
Bersama-sama temanmu tanpa hala,
Leka , alpa dengan hiasan dunia,
Biarkan bunga kau mewangi selalu,
Mencambahkan benih yang tidak terduga,
Memberikan seribu kata yang dusta,
Kau kata malam masih muda,
Kau kata hidup buat selamanya,
Kesilapanmu keegoanmu,
Menyebabkan kau semakin hilang arah
Kembalilah semula ke pangkal jalan
Kerana ar-Rahman, ar-Rahim itu
Sentiasa ada bersama-sama denganmu
Wahai sahabat-sahabatku.




BBK 3410 : SAJAK : TANGISAN DEWI

TANGISAN DEWI
Jika dahulu engkau dewi,
Jika dahulu engkau suci,
Jika dahulu engkau disanjungi,
Jika dahulu engkau disayangi,
Hari ini namamu diulit sepi
Kau tidak lagi dikagumi
Tangan yang hina menyentuh tubuhmu
Merosakkan kesucian anugerah Ilahi
Anak-anakmu tidak bebas ke sana sini
Demi mencari suatu kebahagian yang dihajati
Tangan itulah yang merosakkanmu wahai dewi!
Mereka riang dengan tiada penghujungya
Namun engkau masih dengan tangisanmu
Aku harap supaya engkau seperti dahulu
Senyum sebagaimana engkau sebelumnya
Agar aku akan letakkan semula hatimu
Untuk dijadikan sebagai suri hatiku

Buat selama-lamanya.

BBK 3410 : TRAVELOG HIDUPKU

Assalamualaikum wbt. Pada hari ini saya ingin meringkaskan serba sedikit pengalaman saya untuk bersama-sama dengan insan yang amat saya sayangi iaitu keluarga dan seluruh sanak saudara saya. Hari Keluarga pada tahun 2/10/2013 menggamit kembali memori di dalam lubuk ingatan saya ini. Pelbagai kenangan manis yang telah tercipta antara kami meskipun jarang untuk meluangkan masa bersama-sama kerana kesibukan yang tidak pernah lekang dalam kehidupan ini. Saya berasa begitu bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga penuh kasih sayang dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Kasih sayang ini semakin timbul walaupun kami berjauhan antara satu sama lain. Bertemakan warna merah kami kelihatan seperti unggun api dari jauh kerana berbajukan warna merah. Hari Keluarga ini dilakukan di Pantai Sepat, Pekan, Pahang.Mungkin itu sahaja entri pada kali ini. Sekian. Wasalam.






Tuesday 3 January 2017

BBK 3410 : ADAT BERINAI

Assalamualaikum kepada para pembaca sekalian. Bersua kita lagi di alam maya ini. Pada entri kali ini saya ingin membincangkan mengenai salah satu  adat dalam perkahwinan kita masyarakat Melayu. Adat berinai merupakan adat yang sering dilakukan dalam mana-mana majlis perkahwinan. Sesuatu majlis perkahwinan dianggap tidak lengkap sekiranya tiada adat berinai yang dijalankan sebelum majlis bermula.

Adat berinai merupakan satu adat yang sering dilakukan dalam mana-mana majlis perkahwinan. Adat berinai merupakan adat. Adat berinai terbahagi kepada dua jenis iaitu adat berinai besar dan adat berinai kecil. Adat berinai kecil adalah untuk memberikan restu dan melahirkan rasa gembira kerana si gadis bakal menjadi isteri dan perkahwinannya amatlah dinantikan oleh ahli keluarga yang merestui. Di kampung saya, kebiasannya majlis adat berinai kecil akan dilakukan pada malam hari iaitu sehari sebelum majlis perkahwinan berlangsung. Hal ini demikian kerana, di percayai dapat memberikan seri kepada para pengantin.

Manakala majlis berinai besar akan melibatkan persandingan kedua pasangan pengantin yang telahpun selamat dinikahkan. Pasangan pengan lebih suka untuk mengenakan pakaian jenis tradisional samada songket ataupun pakaian moden. Kebiasannya majlis ini diadakan di rumah pengantin perempuan. Majlis ini juga disertai oleh rakan-rakan dan saudara mara kedua belah keluarga pengantin yang terdekat.

 Cara-cara membuat inai.

1. Daun inai
2. Serbuk teh
3. Air kapur

* Tumbuk daun inai sehingga lumat
*Masukkan sedikit serbuk teh dan air kapur.
* Peram untuk semalaman

3 jenis peringkat berinai:
1. Berinai curi
2.Berinai kecil
3.Berinai besar

Sekian, Wasalam.

BBK 3410 : BANJIR OH BANJIR!

Assalamualaikum wbt kepada para pembaca yang saya rindui dan kasihi sekalian.

Entri saya pada kali ini adalah untuk membincangkan satu isu yang seringkali bermain-main di minda ini. Fenomena bencana alam. Banjir. Ya,siapa sahaja yang tidak pernah mengalami situasi banjir. Mungkin ada dalam kalangan pembaca pada waktu ini pernah mengalami situasi banjir. Ataupun tengah terkenang-kenangkan ketika sedang bermain air banjir di halaman rumah atau pun membuat 'lawatan' tertentu ke tempat banjir. Waktu banjir inilah yang dikatakan sebagai pesta air untuk masyarakat kita tidak kira tua ataupun muda. Namun, begitu mengapakah sering kali berlakunya banjir di negara kita ini? Adakah disebabkan oleh fenomena alam semata-mata? Ataupun ada tangan manusia yang menyumbang berlakunya banjir. Terdapat beberapa faktor manusia yang menyumbang kepada terjadinya banjir.


1. Pemusnahan kawasan hutan tadahan.

Pemusnahan kawasan hutan tadahan telah menyebabkan kekerapan berlakunya banjir. Hal ini demikian kerana, pokok-pokok ditebang untuk tujuan pembalakan. Penebangan pokok memberikan kesan yang negatif kepada alam sekitar teutamanya kepada kehidupan manusia. Penebangan pokok telah meningkatkan pengaliran air hujan kerana ketiadaan pokok untuk mengurangkan kadar pengaliran air hujan tersebut. Jika kita lihat pada hari ini, aktiviti pembalakan semakin giat dijalankan oleh manusia untuk tujuan yang tertentu. Keadaan ini telah menyebabkan semakin banyak kawasan hutan tadahan dirosakkan oleh manusia.

2. Pembuangan sampah.

 Pembuangan sampah sembarangan oleh masyarakat merupakan faktor yang turut menyumbang kepada berlakunya fenomena banjir. Pembuangan sampah ini melibatkan segala jenis iaitu plastik, botol, kertas dan sebagainya. Segala jenis pembuangan ini telah menyebabkan sistem pemparitan ataupun longkang tersumbat. Keadaan ini telah menyebabkan pengaliran air tiada laluan kerana terperangkap dan mengalir ke dalam kawasan-kawasan penempatan masyarakat. Sekiranya, tidak wujud lagi kesedaran untuk tidak menyumbang sampah sembarangan sudah pasti sampai bila tiada penyelesaian kepada permasalahan ini.


Justeru, secara kesimpulannya, kesedaran yang tinggi seharusnya diterapkan dalam kalangan masyarakat supaya kita bersama-sama dapat menjaga alam sekitar dengan lebih baik. Hal ini demikian untuk generasi pada masa hadapan yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara kelak. Jika kita bersikap acuh tidak acuh dalam hal seperti ini, sudah tentu negara kita tidak akan maju seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.


Wasalam, sekian.

BBK 3410 : OH BUKIT BROGA!


Assalamualaikum w.b.t. Sudah lama rasanya tidak menghasilkan sebarang penulisan di halaman blog saya ini. Apa khabar pembaca-pembaca blog sekalian. Harap kalian berada dalam keadaan yang sihat hendaknya.

Satu kenangan yang tidak mungkin saya lupakan kerana ianya adalah pengalaman yang paling indah pernah saya alami. "Ikutlah aku Syu, bukan selalu kita dapat peluang macam ni. Bila lagikan?" kata-kata ini masih terngiang-ngiang di kepala ini. Ramai pelajar sudah pulang untuk menghabiskan minggu cuti ulangkaji di rumah. Tetapi saya masih di UPM kerana niat untuk menghabiskan masa dengan sebaiknya seminggu untuk menelaah pelajaran. Pelawaan kawan sebilik saya pada awalnya tidaklah begitu menggembirakan saya. Bukan apa. Ini kali pertama saya untuk melakukan outdoor aktiviti iaitu mendaki bukit. Suatu perasaan yang tidak dapat untuk saya ungkapkan. Mendaki bukit? Bukanlah pilihan pertama saya untuk dijadikan sebagai aktiviti. Tetapi untuk mengurangkan tekanan daripada belajar dan menghirup udara yang segar saya akhirnya membuat keputusan untuk mengikuti rakan sebilik saya itu. 

18/12/2016 - Ahad

Jam 4 pagi -  Kami sudah berkumpul di cafe untuk mendengar sedikit taklimat daripada pihak yang menganjurkan aktiviti ini. Bukit yang bakal kami daki ialah Bukit Broga,Selangor. Itulah pertama kali saya mendengar nama bukit tersebut. Terdetik sedikit perasaan teruja untuk mendaki Bukit Broga setelah mendengar taklimat daripada pengajur. Aktiviti ini dijalankan oleh salah satu persatuan di universiti ini iaitu Kelab Bimbingan Mahasiswa (KBM) dengan penglibatan beberapa NGO lain. Seramai 30 orang peserta yang terlibat. Sesudah taklimat selesai kami memulakan doa supaya perjalanan selamat pada jam 5.30 pagi.

Jam 6 pagi - Kami tiba di Bukit Broga. Saya melihat sudah ramai pengunjung yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Seusai menunaikan solat Subuh bermulalah pendakian kami. Namun, terdapat sedikit sesi pengenalan daripada pihak NGO yang terlibat dengan pasukan kami. Saya tidak mengingati nama NGO tersebut yang mana ianya melibatkan pelajar-pelajar sekolah sempena cuti persekolahan. Setelah itu, barulah bermula pendakian kami untuk mendaki Bukit Broga. Mungkin buat pertama kalinya saya mendaki, sedikit kepenatan terasa dalam diri ini. Tetapi semangat untuk meneruskan pendakian itu masih berkobar-kobar.

Sepanjang pendakian itu, memberikan saya 1001 sebab untuk mensyukuri nikmat yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanNya. Begitu segar udara nyaman yang memenuhi ruang udara di situ jika dibandingkan dengan bandar yang penuh dengan udara kimia. Pemandangan hijau memberikan ketenangan yang tdak dapat saya gambarkan betapa Allah SWT amat menyayangi hambaNya tanpa meminta sedikit balasan untuk setiap udara yang kita hirup. Akhirnya saya menguatkan azam untuk sampai kepuncak Bukit Broga. Akhirnya dengan izinNya saya sampai ke puncak bukit broga. Subhannallah! Pemandangan yang amat indah sekali. Saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana rupanya seperti inilah pemandangan yang sering kali diperkatakan oleh orang. Kami mengambil masa untuk menghayati ciptaan Ilahi yang amat indah dan sempurna. Semoga pengalaman ini dapat menjadikan saya insan yang sentiasa mensyukuri dengan segala apa yang kita ada pada hari ini. Sekian, Wassalam.







Thursday 27 October 2016

BBK3410 : NASI DAGANG UBAI

Assalamualaikum kepada pembaca sekalian.

Pada hari ini saya sungguh bersemangat untuk memulakan entri saya kerana sekali lagi saya ingin memperkenalkan satu lagi jenis makanan. Sebelum ini saya pernah menulis mengenai kuih ketayap. Masih ingat? Tetapi pada hari ini, saya ingin memperkenalkan makanan yang terkenal di kampung kelahiran saya iaitu di Kampung Ubai, Pekan, Pahang. Pemilik kedai ini merupakan emak saudara saya sendiri yang sudah hampir 12 tahun meneruskan perniagaan bersama suaminya. Nasi Dagang Gegar Pantai Timur adalah nama gerai makan yang sering menjadi sebutan bagi penduduk di daerah Kuantan dan Pekan.

Nasi Dagang Gegar Pantai Timur

Berikut merupakan sisi hadapan  kedai nasi dagang . Kedai ini terletak di persimpangan jalan sewaktu memasuki Kampung Ubai. Tempatnya adalah sangat stategik kerana memudahkan para pengunjung untuk mencari gerai makanan. Kedai ini juga mempunyai hampir daripada 15 jenis pilihan makanan yang harganya amat berpatutan. Jadi, tidak hairanlah sekiranya gerai ini sering dikunjungi oleh nama-nama besar untuk merasai sendiri keenakan nasi dagang itu. Antara pilihan makanan yang disediakan ialah, opor daging hitam, ayam masak merah dan pelbagai lagi pilihan makanan.

Nasi dagang

Kedai ini juga membuka cawangannya yang kedua iaitu di Ketapang, Pekan, Pahang. Mungkin disebabkan oleh permintaan yang tinggi cawangan kedua ini dibuka. Nasi dagang menerima tempahan yang begitu banyak terutamanya sewaktu perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri dan juga majlis-majlis yang lain. Pada waktu malam pula, kedai ini menyediakan masakan panas yang mana turut mendapat permintaan yang tinggi daripada para pengunjung. Jadi tidak hairanlah sekiranya cawangan kedua dibuka untuk memenuhi permintaan daparida penduduk setempat. Jadi, apa yang ditunggu-tunggu lagi? Cubalah merasai sendiri keenakan nasi dagang dan pasti anda akan berpuas hati.Seperti kata slogan sekali rasa pasti mahu lagi.
(Gambar akan dimuat turun kemudian)

Sekian. terima kasih.

Dari insan yang sentiasa merindui bonda dan ayahanda.