Thursday, 27 October 2016

BBK3410 : NASI DAGANG UBAI

Assalamualaikum kepada pembaca sekalian.

Pada hari ini saya sungguh bersemangat untuk memulakan entri saya kerana sekali lagi saya ingin memperkenalkan satu lagi jenis makanan. Sebelum ini saya pernah menulis mengenai kuih ketayap. Masih ingat? Tetapi pada hari ini, saya ingin memperkenalkan makanan yang terkenal di kampung kelahiran saya iaitu di Kampung Ubai, Pekan, Pahang. Pemilik kedai ini merupakan emak saudara saya sendiri yang sudah hampir 12 tahun meneruskan perniagaan bersama suaminya. Nasi Dagang Gegar Pantai Timur adalah nama gerai makan yang sering menjadi sebutan bagi penduduk di daerah Kuantan dan Pekan.

Nasi Dagang Gegar Pantai Timur

Berikut merupakan sisi hadapan  kedai nasi dagang . Kedai ini terletak di persimpangan jalan sewaktu memasuki Kampung Ubai. Tempatnya adalah sangat stategik kerana memudahkan para pengunjung untuk mencari gerai makanan. Kedai ini juga mempunyai hampir daripada 15 jenis pilihan makanan yang harganya amat berpatutan. Jadi, tidak hairanlah sekiranya gerai ini sering dikunjungi oleh nama-nama besar untuk merasai sendiri keenakan nasi dagang itu. Antara pilihan makanan yang disediakan ialah, opor daging hitam, ayam masak merah dan pelbagai lagi pilihan makanan.

Nasi dagang

Kedai ini juga membuka cawangannya yang kedua iaitu di Ketapang, Pekan, Pahang. Mungkin disebabkan oleh permintaan yang tinggi cawangan kedua ini dibuka. Nasi dagang menerima tempahan yang begitu banyak terutamanya sewaktu perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri dan juga majlis-majlis yang lain. Pada waktu malam pula, kedai ini menyediakan masakan panas yang mana turut mendapat permintaan yang tinggi daripada para pengunjung. Jadi tidak hairanlah sekiranya cawangan kedua dibuka untuk memenuhi permintaan daparida penduduk setempat. Jadi, apa yang ditunggu-tunggu lagi? Cubalah merasai sendiri keenakan nasi dagang dan pasti anda akan berpuas hati.Seperti kata slogan sekali rasa pasti mahu lagi.
(Gambar akan dimuat turun kemudian)

Sekian. terima kasih.

Dari insan yang sentiasa merindui bonda dan ayahanda.



BBK3410 : DEMAM DENGGI. BILAKAH PENGHUJUNGNYA?

Assalamualaikum buat para pembaca sekalian. Salam jumaat penghulu segala hari - Sayidulayyam. Semoga pada hari yang penuh keberkatan ini kita sentiasa berada dibawah naungan rahmat Allah S.W.T.

Entri saya pada pagi ini ingin memnbincangkan serba sedikit mengenai isu-isu semasa yang berlaku dalam negara yang dicintai ini iaitu Malaysia. Isu yang ingin saya ketengahkan adalah mengenai isu kesihatan. Bagi para pembaca yang mengikuti blog saya, sudah pasti mengetahui cara penulisan saya. Saya lebih suka untuk menulis dalam keadaan santai sahaja kerana memberikan keselesaan kepada saya. Tetapi, pada entri kali ini saya cuba untuk bersikap lebih profesional kerana membincangkan isu yang semakin merebak seperti barah dalam kalangan rakyat. In sha Allah.

Isu yang saya ingin bincangkan adalah mengenai demam denggi. Kenapa? Saban hari di kaca televisyen tidak pernah lekang dengan kes demam denggi yang melanda seperti tiada penghujungnya. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan salah satu dari bandar yang mempunyai kadar demam denggi yang tinggi.  Pengarah Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata sebanyak 866 kes dicatatkan berbanding tahun lepas iaitu 643 kes, namun tiada kematian direkodkan. (Sumber:https://isu2semasa.blogspot.my/2016/02/kes-demam-denggi-semakin-meningkat-di.html)

Masyarakat seharusnya sedar akan bahaya demam denggi yang semakin menular dalam negara ini. Kita tidak seharusnya mengharapkan 200% dari pihak kerajaan jika kita sendiri tidak mampu untuk mengubah budaya suka menangguh dalam diri kita. Pelbagai langkah yang telah diambil oleh pihak-pihak yang terlibat untuk mencegah daripada penularan wabak demam denggi ini. Namun, terdapat segelintir rakyat yang masih tidak menyahut seruan ini. Mereka mungkin mengatakan bahawa tidak mengapa kerana masa ada lagi. Mereka masih tidak sedar akan bahayanya demam denggi itu. Mereka bersikap seperti kera sumbang kerana tidak mengenai diri mereka atau ahli keluarga. Sedarlah wahai saudari dan saudari sekalian, bahawa negara kita sudah semakin tenat dengan penyakit ini.

Apakah demam denggi? Demam denggi berpunca daripada jangkitan virus Denggi iaitu genus flavivirus yang disebarkan oleh nyamuk aedes betina. Terdapat dua jenis demam denggi yang berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS). Terdapat pelbagi tanda bahawa seseorang itu dijangkiiti penyakit demam denggi. Salah satu sumbernya adalah pautan di link ini (http://www.infosihat.gov.my/infosihat/isusemasa/mediadenggi.php)


Keratan akbar mengenai demam denggi

Keratan akhbar 2. 
Kita seharusnya bertindak daripada sekarang untuk mengekang penularan wabak penyakit ini. Teutamanya penduduk-penduduk di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Jika kita tidak bermula daripada sekarang, sudah pasti kes demam denggi ini akan meningkatkan saban hari. Antara langkah yang paling mudah untuk diambil ialah dengan mencegahnya di persekitaran rumah kita sendiri. Hal ini kerana, bermula daripada pendidikan di rumah kita dapat memupuk amalan mencegah denggi ini dimana-mana sahaja. Mana mungkin kita mampu untuk mengekang penyakit ini jika masyarakat masih hidup seperti di bawah tempurung. Mereka suka untuk bersikap sambil lewa dan tidak mengambil berat akan isu semasa ini.

contoh cara untuk mencegah denggi

Sampai di sini sahaja entri saya untuk kali ini. Semoga segala nasihat ataupun informasi yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anda yang sedang membaca dan sesiapa sahaja. Susah senang kita bersama.



Terima kasih, dari insan yang merindui bonda dan ayahanda.

BBK3410 : KUIH KETAYAP

Assalamualaikum.

Saya berasa begitu teruja untuk memulakan entri pada kali ini kerana melibatkan makanan. Sesiapa sahaja suka untuk makan baik untuk memenuhi kehendak manusia biasa ataupun atas sebab-sebab yang tertentu. Begitu juga dengan saya. Sebagai anak kepada seorang peniaga saya sudah didedahkan oleh keluarga mengenai pelbagai jenis makanan termasuklah kuih tradisional. Setiap hari keluarga saya akan membuat kuih tradisional untuk berniaga meskipun pada hari cuti umum. Pelik bukan? Tetapi bagi saya itu adalah perkara biasa bagi kami yang menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan kami sekeluarga. Saya tidak berasa malu untuk memperkatakannya kerana Rasulullah S.A.W. juga menjalankan perniagaan sesama baginda masih muda dan ianya merupakan sebuah pekerjaan yang mulia. Melalui urusan jual beli juga kita mampu untuk memupuk sikap beramanah dalam diri ini dan mengenali pelbagai ragam manusia yang ada di muka bumi ini.

Mungkin cukup sampai disitu sahaja mukaddimah saya. Mungkin sudah ramai pembaca yang tertanya-tanya mengenai kuih tradisional yang menjadi pilihan saya iaitu kuih ketayap. Kuih ketayap merupakan kuih tradisional masyarakat Melayu yang digemari sesiapa sahaja. Terdapat  juga yang menggelarnya kuih dadar tetapi kuih tersebut adalah kuih yang sama. Saya memilih kuih ketayap kerana sudah menjadi kebiasaan bagi saya untuk membuat kuih tersebut. saya tidak dapat lari dari rutin harian untuk menolong emak membuat kuih terutamanya kuih ketayap. Apabila sahaja musim cuti bermula bagi pelajar, itulah pekerjaan yang saya lakukan. Saya sendiri sudah menjadi terbiasa dengan rutin tersebut.

Kuih ketayap
Kuih ketayap

Inti kelapa untuk kuih ketayap
 Kuih ketayap sesuai untuk dijadikan sebagai menu makan pagi ataupun petang. Inti kelapa tersebut terdiri daripada kelapa, daun pandan, air gula melaka, gula dan air. Inti kelapa sangat sesuai untuk dijadikan sebagai isi utama dalam kuih ketayap. Disebabkan oleh zaman sudah semakin maju, kuih ketayap juga mengalami evolusi yang sama. Terdapat juga kuih ketayap yang diberikan nafas baru mungkin untuk menarik minat para pembeli.

Kuih ketayap berbagai warna

Kuih ketayap polkadot
Meskipun berbeza rupa, tetapi rasanya tetap sama. Harapan saya agar kuih tradisional sentiasa mendapat tempat dihati rakyat Malaysia walaupun pelbagai jenis kuih moden yang lain. Kuih tradisional merupakan salah satu warisan Melayu yang tiada gantinya. Justeru, marilah kita bersama-sama meneruskan pembuatan kuih tradisional sehingga dapat memperkenalkannya di peringkat antarabangsa.



Aku dedikasikan segunung terima kasih kepada keluargaku kerana membesarkan aku dalam keluarga yang menjalankan pekerjaan yang mulia ini iaitu berniaga atau perniagaan.

BBK3410 : PANTAI SEPAT bahagian 1

Assalamualaikum buat  pembaca sekalian.

Entri kali ini saya dedikasikan istimewa  kepada keluarga tercinta.

Pantai Sepat. Sesiapa sahaja pasti mengenali pantai  terletak di negeri Pahang ini. Pantai ini terletak di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Cherok Paloh. Sebut sahaja pantai sepat sudah terbayang-bayang di minda saya ini akan keindahannya. Subhanallah! Sungguh cantik pemandangan disitu. Tumpuan utama bagi saya adalah pokok rhu di pantai tersebut. Setiap kali berada di pantai sepat pasti saya akan mengambil tempat di pokok rhu tersebut. Pantai sepat tidak jauh dari kampung saya cuma mengambil masa 10 minit sahaja. Pantai sepat mempunyai tarikan yang lain juga iaitu aktiviti menunggang kuda. Saya sendiri masih belum berkesempatan untuk menunggang kuda yang merupakan sunnah Rasulullah S.A.W itu. Suatu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan apabila dapat menghirup udara yang segar tanpa perlu membayar satu sen pun. Gambar yang berikut merupakan pemandangan di pantai sepat yang penuh dengan keindahan ciptaan Allah S.W.T.



Pokok rhu berada dalam keadaan yg teratur

Cantik bukan?Di sini juga terdapat kemudahan awam seperti tandas dan surau. Kemudahan yang disediakan ini bukan sahaja memberikan keselesaan kepada pengunjung malah dapat menjadi tarikan kepada pelancong dari luar. Terdapat juga gerai makanan yang menjual pelbagai jenis makanan yang memudahkan para pengunjung tanpa perlu untuk membeli makanan di luar. Keindahan pantai ini membuatkan saya tersedar akan bahawa betapa besyukurnya saya untuk berada di sebuah negara yang bernama Malaysia. Kita masih dalam keamanan meskipun diancam oleh anasir-anasir luar yang ingin menggugat keamanan negara kita. Saya rasa sampai disini sahaja penulisan kali ini. Sebelum saya terlupa, berikut merupakan gambar-gambar suasana di pantai sepat dan aktiviti menunggang kuda di pantai itu.








Dari insan yang mrindui bonda dan ayahanda



Wednesday, 26 October 2016

BBK3410 : Kesusasteraan Melayu : Masihkah?

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara,

Kepada para pembaca yang saya sayangi sekalian.

Sungguh indah hari ini bukan? Saya berasa sangat bersyukur kerana masih diberi kemampuan untuk meneruskan penulisan di alam maya ini. Rasa tenang pada saat penulisan ini kerana burung-burung sedang berkicauan dengan riang sekali. Angin sepoi-sepoi bahasa melewati jendela di kamar saya yang serba kekurangan ini. Sungguh gembira sekali ciptaan Ilahi yang tidak perlu untuk memikirkan perihal duniawi. Tidak seperti manusia,  sering kali berhadapan dengan  masalah yang memenuhi ruang kehidupan mereka. Begitulah juga yang dapat saya lihat  dalam dunia kesusasteraan Melayu mutakhir ini.

Sedih? Gembira? Tiada perasaan yang mampu saya katakan pada saat ini. Dunia kesusasteraan Melayu pada saat ini sudah semakin berkurang perkembangannya terutamanya dalam kalangan generasi masa kini. Jika dikenang pada waktu dahulu, kesusasteraan Melayu mengalami perkembangan yang pesat serta dapat melahirkan ramai sasterawan negara. Bahasa Melayu juga digunakan dengan sebaik-baiknya dalam karya penulisan tanpa ada sebarang kesilapan bahasa. Namun, pada masa kini  terdapat segelintir karya penulisan mempunyai kesalahan berbahasa dalam karya mereka.

Jika kita masih mengingati pada era 70-an dan 80-an kesusasteraan Melayu merupakan salah satu mata pelajaran pilihan utama di sekolah asrama penuh apatah lagi sekolah biasa. Saya dapat maklumat ini melalui pembacaan saya sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya murid-murid pada zaman tersebut dapat mendalami sastera Melayu dengan sangat baik. Sekiranya dibandingkan dengan hari ini, tidak termampu untuk kita bersaing dengan generasi pada saat itu. Penggunaan bahasa yang indah, berbunga-bunga dan gramatis.

Alangkah indah sekiranya kita dapat menyemai kembali perasaan cinta akan sastera Melayu dalam kalangan generasi muda. Hal ini demikian kerana, sastera Melayu itu sendiri mempunyai bahasa yang amat indah dan mampu memupuk mereka untuk menjadi masyarakat yang penuh dengan kesantunan bahasa. Harapan saya agar dunia sastera Melayu tidak hilang ditelan zaman kerana bahasa Melayu itu sendiri merupakan salah satu lambang identiti dan jati diri rakyat Malaysia. Melalui kesusasteraan Melayu, kita dapat memupuk generasi muda yang mempunyai tahap penguasaan bahasa yang betul dan tidak menyalahgunakan bahasa tersebut.

Contoh : Dilema kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar.

Betapa sedihnya kita pada hari ini melihatkan generasi muda semakin berkurangan dalam mempelajari kesusteraan Melayu. Walhal, melalui subjek ini mereka dapat menyemai sikap cinta akan bahasa Melayu itu sendiri dan mampu mempertahankannya daripada sebarang ancaman yang ingin menggugat kedudukan bahasa Melayu. Justeru, sedarlah anak muda! Bangun daripada angan-angan yang melalaikan. Bangkit kembali untuk membangunkan semula dunia sastera Melayu kita seiring dengan zaman serba moden ini. Persoalannya. Masihkah ada cara penyelesaian kepada permasalahan ini? Renung-renungkanlah.


Dari insan yang merindui bonda dan ayahanda.

Sunday, 23 October 2016

BBK 3410: PERMAINAN TRADISIONAL : REJAM SELIPAR

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara.

Tidak dilupakan kepada para pembaca yang saya sayangi sekalian.

Baling!baling!Rejam selipar tu!. Begitulah gelagat saya dan rakan-rakan seperjuangan sewaktu kecil dahulu. Bukan main gembira lagi bermain sehingga tidak perasan bahawa waktu sudah senja. Semua itu hanya kenangan yang masih malar diingatan ini. Bagaimana dengan anda para pembaca sekalian? Tersenyum sendiri agaknya? Ya. Saya pasti anda juga terkenang sewaktu zaman anda kecil dahulu.

Rejam selipar. Itulah permainan yang menjadi pilihan kami sewaktu kecil dahulu. Permainan ini terkenal di kampung saya iaitu Kampung Ubai, Kuantan, Pahang. Sebut sahaja permainan rejam selipar sudah pasti ramai yang ingin bermain sekali. Permainan ini sebenarnya amat menyeronokkan kerana melibatkan semua lapisan masyarakat samada tua ataupun muda. Pada pandangan saya, melalui permainan ini kita dapat  mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga ataupun masayarakat. Mungkin ada daripada pembaca sekalian pernah bermain permainan ini bukan? Bagi penduduk di kampung saya, kami lebih mengenalinya sebagai permainan rejam selipar. Permainan ini sering kali diadakan sewaktu aktiviti kemasyarakatan di kampung seperti program anak angkat dari universiti tempatan.


Selipar didirikan seperti dalam gambar

Sudah menjadi kebiasaan kami untuk bersakit-sakit sewaktu permainan ini. Namun, itulah kenangan yang paling tidak dapat dilupakan sehingga sekarang. Begitulah keadaan selipar yang menjadi sasaran utama kami sewaktu permainan rejam selipar. Suka saya untuk berkongsi serba sedikit mengenai cara permainan rejam selipar ini kepada para pembaca sekalian. Mungkin boleh dipraktikkan sebagai permainan sewaktu sukan sekolah ataupun aktiviti kemasyarakatan di kampung anda.

Permainan rejam selipar

Permainan rejam selipar melibatkan dua buah kumpulan yang terdiri daripada 4 atau 5 orang ahli. Sudah pasti menggunakan selipar untuk dijadikan sebagai sasaran utama. Selipar akan didirikan seperti dalam gambar di atas. Salah seorang daripada ahli akan mencuba untuk membuat balingan pada selipar tersebut. Jika balingan berjaya, kumpulan lawan akan membaling selipar kepada ahli kumpulan tersebut dan mereka mesti mengelakkan daripada  menjadi sasaran. Ahli yang lain pula akan cuba untuk mendirikan selipar itu. Sekiranya mereka berjaya mendirikan selipar itu, mereka akan mendapat mata kemenangan.

Sememangnya permainan  rejam selipar mudah untuk dipelajari dan dapat dijadikan sebagai salah satu aktiviti di mana-mana sahaja program. Saya berharap agar permainan ini tidak hilang ditelan zaman kerana pelbagai nilai murni yang dapat diperoleh daripada permainan tersebut. Jadi, marilah kita bersama-sama menghidupkan kembali permainan tradisional supaya generasi masa kini tahu untuk menghargai warisan nenek moyang mereka. Alangkah seronoknya jika generasi muda dapat mewarisi peninggalan yang amat berharga ini.Mungkin barangkali, permainan in dapat dipromosikan sehingga peringkat antarabangsa? Sampai disini sahaja coretan saya. Sehingga ketemu lagi  para pembaca sekalian.

Dari insan yang merindui bonda dan ayahanda.





Saturday, 22 October 2016

BBK 3410 : Dr. Ghazali Lateh : Pencetus Inspirasiku

Assalamualaikum buat warkah yang dicintai, tidak dilupakan juga kepada para pembaca sekalian.

Sudah sekian lama rasa tidak menulis di blog ini. Pelbagai pengalaman baru yang saya dapat beberapa minggu lalu. Satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah apabila bersemuka sendiri dengan seorang penulis yang amat saya sanjungi dalam penulisan kreatif ini.

Dilahirkan di Kampung Bukit Nibung, Bukit Jenun, Kedah yang merupakan sebuah perkampungan terpencil di negeri Kedah . Itulah tempat asal penulis yang merupakan pencetus inspirasi saya dalam berkarya. Pelbagai karya kreatif yang telah dihasilkan oleh beliau antaranya ialah Kasut Kelopak Jantung, Dari Lembah ke Puncak dan Masih Ada Harapan. Orangnya tinggi dan tidak lekang dengan senyuman sewaktu menyambut kedatangan kami. Individu yang saya amat segani itu adalah sebenarnya Dr. Ghazali Lateh.

Tanggal 5 September merupakan detik yang tidak kami lupakan kerana itulah tarikh kami bersemuka dengan Dr. Ghazali Lateh buat julung-julung kalinya. Kami berasa amat bersyukur kerana melalui subjek Penglahiran Bakat Kreatif kami dapat bertemu dan menemu bual beliau secara langsung. Tepat jam 11 pagi kami tiba di Open University Malaysia (OUM) kerana beliau merupakan seorang pendidik di universiti tersebut. Temu janji dilakukan melalui salah seorang ahli kumpulan kami beberapa hari sebelum itu. Kedatangan kami disambut mesra oleh Dr. Ghazali Lateh di pintu hadapan pejabat OUM. Sesi temubual tersebut dijalankan di ruangan lobi kerana kami mendapati bahawa kami ingin mendapatkan suasana yang santai . Pelbagai persoalan yang telah diajukan kepada Dr. Ghazali Lateh mengenai penulisan karya kreatif.


Sesi temubual Dr. Ghazali Lateh 
(Saya berbaju putih itu)

Tertanya beliau seorang yang amat meminati dalam bidang penulisan karya kreatif ini. Segala persoalan yang diajukan kepada beliau, kami mendapat respon yang begitu positif. Sesi temubual tersebut berjalan dengan lancar sehinggakan kami tidak berasa bahawa waktu berlalu dengan pantasnya. Beliau dapat menulis sesebuah karya adalah melalui pengalaman beliau sendiri sewaktu melancong ke luar negara bersama isterinya. Kami amat teruja untuk mendengar pengalaman beliau yang pernah menjejakkan kaki ke beberapa buah negara seperti Turki, Australia, Indonesia dan Thailand. Benarlah apa yang beliau katakan, pengalaman meluaskan pandangan kita untuk memulakan sesuatu penulisan. Itulah kata-kata yang saya ingat sehingga hari ini.


Sesi bergambar bersama Dr. Ghazali Lateh.
(Bersama ahli kumpulan Izza, Rissa, Atikah dan Dina)

Sesi temubual itu berlangsung hampir 30 minit kerana beliau mempunyai urusan selepas selesainya. Ternyata beliau sememang seorang insan yang dilahirkan berbakat untuk mendidik anak bangsa melalui penulisannya yang berharga dan tiada gantinya. Pelbagai nasihat yang diberikan oleh beliau kepada generasi muda hari ini termasuklah diri kami sendiri. Saya berasa sangat gembira dan berbangga kerana dapat bertemu dengan beliau. Semoga segala nasihat yang diberikan dapat kami curahkan dalam penulisan karya kreatif kami dengan sebaik-baiknya.



Sampai disini sahaja coretan ku ini,

Dari insan yang merindui bonda dan ayahanda.


Sesi bergambar : Di hadapan bangunan OUM


Thursday, 13 October 2016

BBK 3410 : DISINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara buat warkah yang disayangi ini.
Pertama kali  menjejaki kaki ke alam menara gading membuatkan hati ini berasa seribu satu kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Universiti Putra Malaysia (UPM) itulah universiti yang amat saya kagumi sejak dahulu lagi dan berangan-angan untuk menyambung pelajaran disini. Alhamdulillah. Berkat doa ibu bapa dan rakan-rakan seperjuangan, saya berjaya menjejakkan kaki ke universiti impian iaitu UPM.

Hari pertama melangkah masuk ke kelas penglahiran bakat kreatif menimbulkan banyak pertanyaan dalam diri yang serba kerdil ini. Apakah bakat kreatif ini sebenarnya? Akhirnya, saya berjaya mendapatkan pencerahan daripada rakan-rakan seperjuangan mengenai kelas ini. Gembira di hati apabila mendapat tahu bahawa kelas ini adalah bakat untuk menghasilkan karya-karya kreatif seperti cerpen, novel, sajak dan banyak lagi. Saya berasa begitu teruja untuk memulakan langkah yang baru di dalam bidang ini. Jika dikenang waktu dahulu, terdapat beberapa buah cerita pendek yang hanya disimpan sebagai simpanan dan dibaca oleh rakan-rakan di sekolah. Namun, penghasilannya berakhir di situ sahaja kerana saya tidak merasakan mampu untuk meneruskan lagi penulisan tersebut disebabkan oleh kekangan masa. Namun, setelah bertemu dengan kelas ini saya berasa seperti satu cahaya yang menyuluh kembali daripada alam kegelapan. Begitulah perasaan saya saat itu!

Mengenai kelas bakat kreatif ini, saya mendapati bahawa amat bagus diterapkan oleh pihak universiti sebagai subjek universiti. Pada pendapat saya, generasi masa kini kurang menghargai karya-karya penulisan sasterawan negara kerana tidak mendapatkan pendedahan yang secukupnya. Melalui kelas bakat kreatif, mereka akan didedahkan dengan penulisan sasterwan negara seperti Shahnon Ahmad dan ramai lagi. Misalnya, pensyarah kami Dr.Kamariah Kamarudin sering memberikan pendedahan mengenai 11 orang sasterawan negara yang dapat dijadikan sebagai inspirasi kepada karya kami nanti.

Saya berharap agar dapat mengembangkan kemahiran saya dalam karya penghasilan bakat kreatif ini. Begitu mendalam cinta yang saya luahkan dalam karya ini kerana ingin memberikan serba sedikit pendedahan kepada generasi akan datang. Melalui karya inilah, saya dapat meluahkan perasaan dan berkongsi maklumat yang sewajarnya disampaikan sebagai seorang anak bangsa yang mencintai negaranya sendiri. Harapan juga diberikan kepada rakan-rakan seperjuangan supaya dapat bersama-sama menjadikan diri ini sebagai seorang insan yang sentiasa dapat menyumbang kepada negara melalui karya-karya kreatif tersebut.

Dari insan yang merindui bonda dan ayahanda.