Tidak dilupakan kepada para pembaca yang saya sayangi sekalian.
Baling!baling!Rejam selipar tu!. Begitulah gelagat saya dan rakan-rakan seperjuangan sewaktu kecil dahulu. Bukan main gembira lagi bermain sehingga tidak perasan bahawa waktu sudah senja. Semua itu hanya kenangan yang masih malar diingatan ini. Bagaimana dengan anda para pembaca sekalian? Tersenyum sendiri agaknya? Ya. Saya pasti anda juga terkenang sewaktu zaman anda kecil dahulu.
Rejam selipar. Itulah permainan yang menjadi pilihan kami sewaktu kecil dahulu. Permainan ini terkenal di kampung saya iaitu Kampung Ubai, Kuantan, Pahang. Sebut sahaja permainan rejam selipar sudah pasti ramai yang ingin bermain sekali. Permainan ini sebenarnya amat menyeronokkan kerana melibatkan semua lapisan masyarakat samada tua ataupun muda. Pada pandangan saya, melalui permainan ini kita dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga ataupun masayarakat. Mungkin ada daripada pembaca sekalian pernah bermain permainan ini bukan? Bagi penduduk di kampung saya, kami lebih mengenalinya sebagai permainan rejam selipar. Permainan ini sering kali diadakan sewaktu aktiviti kemasyarakatan di kampung seperti program anak angkat dari universiti tempatan.
Selipar didirikan seperti dalam gambar |
Sudah menjadi kebiasaan kami untuk bersakit-sakit sewaktu permainan ini. Namun, itulah kenangan yang paling tidak dapat dilupakan sehingga sekarang. Begitulah keadaan selipar yang menjadi sasaran utama kami sewaktu permainan rejam selipar. Suka saya untuk berkongsi serba sedikit mengenai cara permainan rejam selipar ini kepada para pembaca sekalian. Mungkin boleh dipraktikkan sebagai permainan sewaktu sukan sekolah ataupun aktiviti kemasyarakatan di kampung anda.
Permainan rejam selipar |
Permainan rejam selipar melibatkan dua buah kumpulan yang terdiri daripada 4 atau 5 orang ahli. Sudah pasti menggunakan selipar untuk dijadikan sebagai sasaran utama. Selipar akan didirikan seperti dalam gambar di atas. Salah seorang daripada ahli akan mencuba untuk membuat balingan pada selipar tersebut. Jika balingan berjaya, kumpulan lawan akan membaling selipar kepada ahli kumpulan tersebut dan mereka mesti mengelakkan daripada menjadi sasaran. Ahli yang lain pula akan cuba untuk mendirikan selipar itu. Sekiranya mereka berjaya mendirikan selipar itu, mereka akan mendapat mata kemenangan.
Sememangnya permainan rejam selipar mudah untuk dipelajari dan dapat dijadikan sebagai salah satu aktiviti di mana-mana sahaja program. Saya berharap agar permainan ini tidak hilang ditelan zaman kerana pelbagai nilai murni yang dapat diperoleh daripada permainan tersebut. Jadi, marilah kita bersama-sama menghidupkan kembali permainan tradisional supaya generasi masa kini tahu untuk menghargai warisan nenek moyang mereka. Alangkah seronoknya jika generasi muda dapat mewarisi peninggalan yang amat berharga ini.Mungkin barangkali, permainan in dapat dipromosikan sehingga peringkat antarabangsa? Sampai disini sahaja coretan saya. Sehingga ketemu lagi para pembaca sekalian.
Dari insan yang merindui bonda dan ayahanda.
No comments:
Post a Comment