Thursday, 13 October 2016

BBK 3410 : DISINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara buat warkah yang disayangi ini.
Pertama kali  menjejaki kaki ke alam menara gading membuatkan hati ini berasa seribu satu kegembiraan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Universiti Putra Malaysia (UPM) itulah universiti yang amat saya kagumi sejak dahulu lagi dan berangan-angan untuk menyambung pelajaran disini. Alhamdulillah. Berkat doa ibu bapa dan rakan-rakan seperjuangan, saya berjaya menjejakkan kaki ke universiti impian iaitu UPM.

Hari pertama melangkah masuk ke kelas penglahiran bakat kreatif menimbulkan banyak pertanyaan dalam diri yang serba kerdil ini. Apakah bakat kreatif ini sebenarnya? Akhirnya, saya berjaya mendapatkan pencerahan daripada rakan-rakan seperjuangan mengenai kelas ini. Gembira di hati apabila mendapat tahu bahawa kelas ini adalah bakat untuk menghasilkan karya-karya kreatif seperti cerpen, novel, sajak dan banyak lagi. Saya berasa begitu teruja untuk memulakan langkah yang baru di dalam bidang ini. Jika dikenang waktu dahulu, terdapat beberapa buah cerita pendek yang hanya disimpan sebagai simpanan dan dibaca oleh rakan-rakan di sekolah. Namun, penghasilannya berakhir di situ sahaja kerana saya tidak merasakan mampu untuk meneruskan lagi penulisan tersebut disebabkan oleh kekangan masa. Namun, setelah bertemu dengan kelas ini saya berasa seperti satu cahaya yang menyuluh kembali daripada alam kegelapan. Begitulah perasaan saya saat itu!

Mengenai kelas bakat kreatif ini, saya mendapati bahawa amat bagus diterapkan oleh pihak universiti sebagai subjek universiti. Pada pendapat saya, generasi masa kini kurang menghargai karya-karya penulisan sasterawan negara kerana tidak mendapatkan pendedahan yang secukupnya. Melalui kelas bakat kreatif, mereka akan didedahkan dengan penulisan sasterwan negara seperti Shahnon Ahmad dan ramai lagi. Misalnya, pensyarah kami Dr.Kamariah Kamarudin sering memberikan pendedahan mengenai 11 orang sasterawan negara yang dapat dijadikan sebagai inspirasi kepada karya kami nanti.

Saya berharap agar dapat mengembangkan kemahiran saya dalam karya penghasilan bakat kreatif ini. Begitu mendalam cinta yang saya luahkan dalam karya ini kerana ingin memberikan serba sedikit pendedahan kepada generasi akan datang. Melalui karya inilah, saya dapat meluahkan perasaan dan berkongsi maklumat yang sewajarnya disampaikan sebagai seorang anak bangsa yang mencintai negaranya sendiri. Harapan juga diberikan kepada rakan-rakan seperjuangan supaya dapat bersama-sama menjadikan diri ini sebagai seorang insan yang sentiasa dapat menyumbang kepada negara melalui karya-karya kreatif tersebut.

Dari insan yang merindui bonda dan ayahanda.





No comments:

Post a Comment