Wednesday, 26 October 2016

BBK3410 : Kesusasteraan Melayu : Masihkah?

Assalamualaikum sebagai pembuka bicara,

Kepada para pembaca yang saya sayangi sekalian.

Sungguh indah hari ini bukan? Saya berasa sangat bersyukur kerana masih diberi kemampuan untuk meneruskan penulisan di alam maya ini. Rasa tenang pada saat penulisan ini kerana burung-burung sedang berkicauan dengan riang sekali. Angin sepoi-sepoi bahasa melewati jendela di kamar saya yang serba kekurangan ini. Sungguh gembira sekali ciptaan Ilahi yang tidak perlu untuk memikirkan perihal duniawi. Tidak seperti manusia,  sering kali berhadapan dengan  masalah yang memenuhi ruang kehidupan mereka. Begitulah juga yang dapat saya lihat  dalam dunia kesusasteraan Melayu mutakhir ini.

Sedih? Gembira? Tiada perasaan yang mampu saya katakan pada saat ini. Dunia kesusasteraan Melayu pada saat ini sudah semakin berkurang perkembangannya terutamanya dalam kalangan generasi masa kini. Jika dikenang pada waktu dahulu, kesusasteraan Melayu mengalami perkembangan yang pesat serta dapat melahirkan ramai sasterawan negara. Bahasa Melayu juga digunakan dengan sebaik-baiknya dalam karya penulisan tanpa ada sebarang kesilapan bahasa. Namun, pada masa kini  terdapat segelintir karya penulisan mempunyai kesalahan berbahasa dalam karya mereka.

Jika kita masih mengingati pada era 70-an dan 80-an kesusasteraan Melayu merupakan salah satu mata pelajaran pilihan utama di sekolah asrama penuh apatah lagi sekolah biasa. Saya dapat maklumat ini melalui pembacaan saya sendiri. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya murid-murid pada zaman tersebut dapat mendalami sastera Melayu dengan sangat baik. Sekiranya dibandingkan dengan hari ini, tidak termampu untuk kita bersaing dengan generasi pada saat itu. Penggunaan bahasa yang indah, berbunga-bunga dan gramatis.

Alangkah indah sekiranya kita dapat menyemai kembali perasaan cinta akan sastera Melayu dalam kalangan generasi muda. Hal ini demikian kerana, sastera Melayu itu sendiri mempunyai bahasa yang amat indah dan mampu memupuk mereka untuk menjadi masyarakat yang penuh dengan kesantunan bahasa. Harapan saya agar dunia sastera Melayu tidak hilang ditelan zaman kerana bahasa Melayu itu sendiri merupakan salah satu lambang identiti dan jati diri rakyat Malaysia. Melalui kesusasteraan Melayu, kita dapat memupuk generasi muda yang mempunyai tahap penguasaan bahasa yang betul dan tidak menyalahgunakan bahasa tersebut.

Contoh : Dilema kesusasteraan Melayu dalam kalangan pelajar.

Betapa sedihnya kita pada hari ini melihatkan generasi muda semakin berkurangan dalam mempelajari kesusteraan Melayu. Walhal, melalui subjek ini mereka dapat menyemai sikap cinta akan bahasa Melayu itu sendiri dan mampu mempertahankannya daripada sebarang ancaman yang ingin menggugat kedudukan bahasa Melayu. Justeru, sedarlah anak muda! Bangun daripada angan-angan yang melalaikan. Bangkit kembali untuk membangunkan semula dunia sastera Melayu kita seiring dengan zaman serba moden ini. Persoalannya. Masihkah ada cara penyelesaian kepada permasalahan ini? Renung-renungkanlah.


Dari insan yang merindui bonda dan ayahanda.

No comments:

Post a Comment